Fulfilling her dream at 89 March 7, 2008
Posted by muadz in Food For Thought, Opinion.trackback
Satu kisah dalam kisah-kisah pilihanraya. Seorang wanita tua berumur 89 tahun bernama Maimun Yusuf mencipta rekod apabila bertanding sebagai calon tertua di dalam pilihanraya Malaysia ‘08 untuk kerusi parlimen Kuala Terengganu atas tiket calon bebas.

Quote: “They just sit and complain and since no one I knew was willing to fight, I decided that i had to be the one to do it”
Oleh kerana kekangan kewangan dan tenaga, beliau berkempen menaiki basikal usang untuk bertemu orang ramai. Usahanya menjadi lebih mudah apabila ada 3 orang anak muda yang sudi membantu set-up bahan kempen di Youtube dan Facebook. Rumahnya juga agak dhaif berbanding calon-calon pilihanraya yang lain. Sudah 4 kali permohon Maimun untuk bertanding dalam pilihanraya umum ditolak SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) kerana tidak memenuhi syarat. Namun beliau tidak putus asa dan akhirnya selepas 20 tahun, beliau mencapai impian. Saya tidak mahu bincang adakah realistik atau tidak, apakah dasar yang hendak dibawa, apakah kaedah perjuangan dan sebagainya. Tidak. Bukan itu tujuan posting ini.
Mengimbau pada kisah-kisah inspirasi dari sejarah silam. Kita mengenali seorang wanita bernama Ummu Haram Milhan RA yang wafat di Cyprus akibat terjatuh daripada tunggangan beliau ketika menyertai ekspedisi armada Muawiyah RA semasa zaman Khalifah Usman Affan RA. Ketika itu umurnya mengikut perkiraan berada dalam pertengahan 70-an.
Pada satu ketika Rasulullah SAW tidur di rumah Ummu Haram RA. Seketika baginda bangun seraya tersenyum. Ummu Haram RA berkata: “Wahai Rasulullah! Kamu lebih aku kasihi daripada ibu bapaku, khabarkan apakah yang membuatkan engkau senyum?”
“Aku melihat beberapa pengikutku keluar berperang menyeberangi lautan. Mereka kelihatan seperti raja-raja di atas singgahsana.”
“Wahai Rasulullah! Doakan supaya aku juga tergolong dalam armada tersebut.”
Rasulullah SAW berkata: “Engkau bersama-sama mereka.”
Kemudian Rasulullah SAW berehat dan kemudian terjaga semula untuk kali kedua seraya tersenyum. Baginda berkata sebagai respon terhadap pertanyaan Ummu Haram, “Sekali lagi aku melihat ramai pengikutku menyeberangi lautan untuk menyertai ekspedisi perang.”
Ummu Haram RA sekali lagi meminta supaya Rasulullah SAW mendoakan agar beliau turut bersama-sama mereka. Rasulullah SAW menjawab, “Engkau hanya bersama ekspedisi yang pertama sahaja.”
Semoga sedikit sebanyak memberi manfaat sebagai satu pelajaran dalam erti cekal, berani dan tidak putus asa.
Comments»
No comments yet — be the first.