Berita ringkas: Agama dan Hubungan Antarabangsa March 9, 2008
Posted by zizulkafli in Local News.trackback
SOUTHAMPTON 15 Feb – Majlis Syura Muslimun UK Eire (MSM UK Eire) telah menganjurkan satu program wacana ilmu bertajuk: Agama dan Hubungan Antarabangsa – Dasar Luar Amerika Syarikat khas untuk rakyat Malaysia di Southampton. Kertas kerja disampaikan oleh saudara Mohd Afandi Salleh, penuntut PhD dalam sains politik di University of Durham. Program telah berlangsung selama 2 jam dihadiri lebih kurang 50 pelajar pra-siswazah dan pasca-siswazah.
Dalam sesi pertama, penceramah menerangkan hasil kajian beliau yang membuktikan bahawa agama adalah salah satu faktor penting yang menentukan dasar luar bagi satu-satu negara, bukan sekadar aspek ekonomi dan sosial semata-mata. Jika sebelum ini, era selepas Perang Dingin menyaksikan agama Islam menjadi fokus kajian hubungan antarabangsa, beliau membuktikan bahawa agama lain di dunia ini juga turut memainkan peranan yang tersendiri.
Sesi kedua menyaksikan penceramah mengulas kajian kes terhadap peranan golongan Christian Right yang menyokong agenda golongan Zionis Yahudi di Israel dalam dasar luar Amerika Syarikat. Mereka juga menyokong peperangan di Iraq. Sokongan mereka ini adalah berasaskan pada kepercayaan agama. Gejala seperti kepanasan global dilihat sebagai petanda ‘jadual’ kembalinya Christ semakin berjaya, untuk itu Israel mestilah dipertahankan dan Israel Raya perlu dilaksanakan sebagai persediaan menyambut Christ.
Pendaftaran program bermula pada pukul 7:00PM diikuti dengan juadah ringan dan tamat pada pukul 10:15PM setelah sesi soal jawab selesai.
Comments»
No comments yet — be the first.