Ambillah Madu Dan Jangan Rosak Sarangnya March 27, 2008
Posted by mofaha in Book Review.trackback
Di manapun kelembutan itu berada, ia akan menghiasi tempat itu. Demikian halnya apabila ia dicabut dari suatu tempat ia akan mengotorinya. Kelembutan tuturkata, senyuman tulus di bibir dan sapaan-sapaan yang terpuji saat bersua merupakan hiasan-hiasan yang selalu dikenakan oleh orang-orang yang mulia.
Semua itu merupakan sifat kelembutan seorang mukmin yang akan menjadikannya seperti seekor lebah, makan dari makanan yang baik dan menghasilkan madu yang baik. Dan apabila hinggap pada setangkai bunga ia tidak akan merosakkannya. Itu kerana Allah menganugerahkan pada kelembutan sesuatu yang tidak Dia berikan kepada kekerasan.
Di antara manusia terdapat manusia-manusia ‘istimewa’ yang membuat banyak kepala tunduk hormat menyambut kedatangannya, orang datang berduyun-duyun kerana ingin melihat rupanya, banyak hati bersimpati kepadanya dan banyak jiwa memujanya. Dan mereka itu tidak lain adalah orang-orang yang banyak dicintai dan dibicarakan manusia kerana kedermawan dan kelobaannya, kejujurannya dalam berjual beli dan keramahan dan sopan-santunnya.
Mencari banyak teman merupakan tuntutan dalam hidup yang selalu dicontohkan oleh orang-orang terhormat dikeranakan akhlak dan perilakunya yang terpuji. Mereka itulah orang-orang yang berada dalam kerumunan manusia dengan senyuman yang merekah, keramahan yang mententeramkan dan sopan santun yang menyejukkan. Dan kerana itu, mereka selalu ditanyakan dan didoakan ketika tidak terlihat.
….tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia (Fushshilat:34)
Begitulah mereka dapat memupuskan rasa dengki dengan emosi yang terkawal, kesabaran yang menyejukkan dan kemudahan memaafkan yang mententeramkan. Mereka adalah orang-orang yang mudah melupakan kejahatan dan mengingati kebaikan orang lain. Kerana itu, tatkala kata-kata yang kotor dan keji terlontar untuk mereka, telinga mereka tidak akan merah dibuatnya. Bahkan mereka memandang kata-kata itu sebagai angin lalu yang tidak akan pernah kembali.
Merekalah orang-orang yang selalu berada dalam kedamaian, orang-orang yang berada di sekitar mereka merasa aman, dan kaum Muslimin yang bersama mereka pun merasa tenteram.
Orang muslim adalah orang-orang yang orang-orang muslim lainnya selamat dari gangguan lidah dan tangannya. Orang mukmin adalah orang yang orang-orang lainnya merasa aman dari gangguannya, baik dalam jiwa mahupun harta mereka. (al-Hadith)
Sesungguhnya Allah telah menyuruhku untuk menyambung tali silaturrahim dengan orang yang telah memutuskannya dariku, memaafkan orang yang telah menzalimiku, dan memberi harta kepada orang yang tidak memberikan harta kepadaku (al-Hadith)
Dan, orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) (Ali ‘Imran: 134)
Sampaikan khabar gembira kepada mereka bahawa, balasan Allah atas ketenangan, ketenteraman dan kedamaian mereka adalah akan disegerakan. Khabarkan pula sebuah khabar gembira kepada mereka bahawa, mereka juga akan mendapat balasan besar di akhirat berupa syurga-syurga dan sungai-sungai yang indah di sisi Rabb mereka kelak. Yakni
Di tempat yang disenangi di sisi Rabb Yang Berkuasa (Al-Qamar:55)
Dr. ‘Aidh Bin Abdullah Al-Qarni dalam bukunya “La Tahzan”
Comments»
No comments yet — be the first.